Reaksi pelbagai. Ada yang menentang. Ada juga membela. Namun sejauh mana dasar itu mampu membawa harapan. Mari kita kisahkan. Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ialah nama rasmi bagi satu dasar pendidikan Malaysia yang menetapkan bahasa Inggeris menggantikan bahasa kebangsaan/ibunda sebagai bahasa perantara mata pelajaran Sains dan Matematik di semua peringkat pendidikan. Dasar PPSMI sering menjadi isu perdebatan yang hangat semenjak dilaksanakan oleh pentadbiran Tun Dr Mahathir bin Mohamad pada tahun 2003. Dasar ini akan dimansuhkan sepenuhnya pada tahun 2012 seperti yang diumumkan oleh Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 8 Julai 2009 setelah melakukan kajian mendalam(wikipedia).
Bantahan golongan sasterawan, budayawan dan cendekiawan
Kebanyakan cendekiawan antaranya Prof Diraja Ungku Aziz termasuk golongan sasterawan dan budayawan menyatakan penentangan kepada dasar PPSMI. Ini termasuk kesemua Sasterawan Negara yang masih hidup di antaranya A. Samad Said dan Prof Muhammad Hj Salleh bersatu menyatakan pendirian menentang dasar PPSMI.Mereka menyatakan penentangan mereka dalam satu kenyataan bersama di sidang media pada 5 Mei 2009.
Enam alasan yang diberikan diringkaskan seperti berikut:
Malaysia seharusnya mencontohi sistem pendidikan negara Scandinavia, Belanda, Belgium dan Switzerland yang rakyatnya boleh berbahasa Inggeris dengan tidak mengabaikan bahasa ibunda.
Pemenang Anugerah Nobel dalam semua bidang bukan sahaja datang daripada negara-negara berbahasa Inggeris, tetapi lebih banyak berasal daripada negara bukan berbahasa Inggeris seperti Perancis, Jerman, Jepun, Spanyol, Switzerland, India dan Bangladesh. Yang mencemerlangkan mereka bukanlah bahasa lnggeris tetapi ilmu yang baru dan eksperimen yang penuh tekun dan berterusan.
Beberapa masalah yang dihadapi Malaysia bukan berpunca daripada penguasaan bahasa Inggeris. Terdapat banyak negeri yang pernah dijajah oleh Inggeris yang menggunakan bahasa itu sebagai bahasa pengantar di sekolah tetapi masih tidak cemerlang dalam pentadbiran, ekonomi dan ilmu. Sebaliknya di Malaysia yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah membawa kita jauh ke dalam dunia industri, sains dan teknologi.
Kegagalan mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu semua bidang menyebabkan pemimpin hari ini dirakam dalam sejarah sebagai "pemusnah bahasa Melayu yang telah lama menjadi lingua franca".
Penggunaan bahasa Inggeris untuk bidang terpilih dengan sendirinya menciptakan dua jenis kewarganegaraan: yang pertama warganegara yang menguasai bahasa Inggeris dan bidang sains dan teknologi, dan seterusnya yang kedua, warganegara yang berbahasa Melayu dan menguasai bidang-bidang sastera dan sains sosial, iaitu bidang-bidang yang dianggap tidak penting dan lebih rendah darjatnya.
Mereka menyokong dasar yang membuka mata dan ilmu pelajar kepada dunia yang luas, relevan dan kemaskini. Mereka tidak membantah pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa, malah ingin mencadangkan bahawa lebih banyak bahasa antarabangsa diajarkan. Namun untuk perkembangan budaya dan jati diri bangsa, MaIaysia perlu mempunyai sebuah bahasa penyatuan yang dipelajari, didalami dan dibanggai oleh seluruh rakyat Malaysia. Sementara itu kerajaan juga harus mengajar bahasa ibunda pelajar-pelajar ini di peringkat sekolah rendah supaya bahasa itu tidak pupus.
Ahli politik yang mendukung
Perbahasan mengenai dasar PPSMI tidak terlepas pandangan ahli politik, baik pihak pembangkang mahupun pemerintah. Antara ahli politik yang mendukung dasar PPSMI ialah Mukhriz Mahathir, anak kepada pencadang dasar itu sendiri. Beliau pernah menyatakan bahawa tujuan mengajar matapelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris bukanlah untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, sebaliknya memudahkan rakyat mencapai pengetahuan yang bernilai dalam bidang sains dan matematik melalui pengetahuan bahasa Inggeris.
Ahli politik yang menentang
Pada April 2008, pemimpin de facto Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata "Pakatan Rakyat tetap tidak akan bertolak ansur mengenai kedudukan bahasa kebangsaan dan lain-lain hal yang telah diputuskan melalui Perlembagaan Persekutuan sebelum ini, dan "pimpinan mestilah serius dalam usaha meletakkan semula bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik." Anwar mengulangi ikrar beliau untuk mengembalikan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda sewaktu parti campuran Pakatan Rakyat pimpinan beliau menerima memorandum membantah PPSMI dari Gerakan Mansuhkan PPSMI di Kuala Terengganu pada 15 Januari 2009.
YB Khairy Jamaluddin, naib ketua Pemuda UMNO, turut menggesa agar dikembalikan bahasa kebangsaan sebagai perantara mata pelajaran Sains dan Matematik. Katanya, "(Berdasarkan maklum balas akar umbi) bahasa Inggeris jadi tembok penghadang untuk fahami sains dan matematik. Guru pun ada masalah untuk mengajar, bukan sahaja lidah tergeliat, proses pengajaran juga terencat. Saya takut yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran." Tambahnya lagi, cara terbaik bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris ialah dengan memantapkan teknik pengajaran subjek itu secara menyeluruh, antara lain dengan memperkenalkan pelajaran sastera bahasa Inggeris di sekolah.
Penentangan awam: Gerakan Mansuhkan PPSMI
Lihat juga Perarakan Keranda Mac 2009
Sekitar akhir tahun 2008 dan awal tahun 2009, bangkitnya sebuah pergerakan bergelar Gerakan Mansuhkan PPSMI yang matlamat utamanya adalah memastikan dasar PPSMI dimansuhkan secepat mungkin. Gerakan yang asalnya dikenali sebagai "Sekretariat Selamatkan Bahasa Melayu" ini dipimpin Datuk Dr Hassan Ahmad, bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka. Walaupun kelihatan erat dengan Pakatan Rakyat, GMP menolak tanggapan bahawa mereka menyokong parti campuran tersebut, apatah lagi ada juga beberapa ahli politik Barisan Nasional yang menyokong perjuangan mereka, misalnya Datuk Puad Zarkashi dari UMNO.
GMP mengadakan tunjuk perasaan pertama mereka di ibu kota, di perkarangan pusat beli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada 31 Januari 2009, yang dihadiri oleh tokoh-tokoh berkenaan bahasa seperti Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, penyair Dinsman dan Pyanhabib, ahli jawatankuasa Persatuan Penulis Nasional (Pena) Ibrahim Ghaffar, aktivis teater Khalid Salleh, serta ahli-ahli politik Tian Chua, Shamsul Iskandar Md Akin, dan Kamaruzzaman Mohamad, dan juga pejuang bahasa-bahasa Cina dan India seperti Yayasan Tamil Malaysia dan Dong Jiao Zong. Kemuncak bantahan GMP ke atas PPSMI ditunjukkan melalui perarakan secara besar-besaran pada 7 Mac, di mana mereka menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memohon campur tangan baginda dalam menyelesaikan isu PPSMI.
Perjuangan GMP turut dibantu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) yang cuba mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan kerana melaksanakan dasar PPSMI yang didakwa mereka sebagai mencabuli Perkara 152 Perlembagaan yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi., di samping dilaporkan merancang untuk mengadakan tunjuk perasaan bergelar "Keranda 152", sempena dakwaan PPSMI tersebut pada bulan Februari.Akan tetapi pada 15 Februari 2009, tunjuk perasaan "Keranda 152" itu tidak menjadi kenyataan, akhirnya mereka membuat laporan polis berhubung pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di Balai Polis Brickfields, Kuala Lumpur yang diiringi kira-kira 20 tokoh bahasa dan diketuai oleh Ketua 1 Gapena, Tan Sri Ismail Hussin dan berkata, laporan tersebut merupakan proses pertama Gapena menggunakan saluran itu.
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) turut kuat membangkang dasar PPSMI. Pada 18 Februari 2009, PKPIM mengikut jejak Gapena membuat laporan polis yang seumpamanya terhadap kerajaan di Balai Polis Gombak, Selangor.
No comments:
Post a Comment