Tidur pun dapat menenangkan hati ini. Aku menyimpan bakteria. Mampu memusnahkan sebuah masa depan. Walau tidak sesakit dulu namun parahnya masih ada. Berbaki. Ada lagi sedikit tangis yang aku sembunyikan. Barangkali itu yang tersimpan. Saat ini aku memerlukan teman. Teman yang mampu memimpinku di saat bakteria itu cuba membunuhku. Nafsu pula mula memberontak. Iman pula semakin tipis. Kesabaran pula hilang. Jiwa ini sakit!
" Tuhan lihatlah aku"
" Haha... Kamu ada tuhan?" Suara halus meniup prasangka di hatiku. Barangkali syaitan.
" Infiti yakin! Aku punya tuhan. Dia tuhan yang satu. Tuhanku dan kamu." Aku bertegas.
" Jika kamu punya tuhan, pasti nasib kamu tidak semalang ini. Kamu sama sepertiku."
" Tidak. Ini ujian tuhan. Pasti ada hikmah. Menguji kesabaranku."
" Kenapa kau tidak meminta pertolonganku?" Bisikan syaitan cuba menusuk iman yang senipis membran ini.
" Nasibmu pun masih kabur,mahu menghitung nasibku. Aku tidak perlu kamu. Aku ada tuhan. Tuhan melihatku!"
" Aku ingin bertanya sedikit wahai sang Yakin infiniti. Jika kamu punya tuhan mengapa sakitmu belum reda. Petang tadi pun saat kamu mahu berjumpa doktor, tiada siapa yang sudi menemanimu?"
" Wahai iblis, mereka semua hamba. Sama sepertiku dan kamu. Kasih hamba tidak sehebat tuhan. Kamu perlu tahu."
" Hebat sungguh jawapanmu. Tapi aku lihat tiap ragumu. Kamu masih menyimpan dendam."
" Jangan samakan aku dan kamu. Kamu itu pendendam."
" Cabul sungguh lidahmu insan pelupa!"
" Jika tidak masakan kamu hasut aku dan setiap anak Adam menderhakai tuhan. Untuk apa? Kerana dendam bukan?"
" Wahai insan pelupa, ingat. Ini waktu kamu. Nanti ketika kamu leka dengan khayalanku yakinlah aku menjemputmu ke halamanku. Biar kita berteman. Sama-sama menerima balasan tuhan." Bisikan itu terus ketawa hingga lenyap dibawa angin.
Aku terpaku. Mungkin yakinku masih tipis. Imanku kian longgar. Ruang-ruang yang membawa syaitan kepadaku.
No comments:
Post a Comment