PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak yakin pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang di Johor, akan membuat pilihan yang bijak pada pilihan raya kecil kawasan itu, Ahad ini.
Perdana Menteri berkata, pengundi di kawasan berkenaan sudah tentu dapat
menilai calon sesuai yang akan dipilih menjadi wakil rakyat mereka. "Saya yakin mereka faham akan pilihan mereka dan sudah dapat membuat kesimpulan.
"Mereka dah tengok kedua-dua pihak (calon) dan saya yakin mereka akan
membuat pilihan yang bijak," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini
hari ini.
Pilihan raya itu membabitkan calon Barisan Nasional, Mohd Azahar Ibrahim, 39,
dan calon PAS, Normala Sudirman, 38.
Ia diadakan selepas penyandang kerusi itu, Datuk Sulaiman Taha daripada BN,
meninggal dunia pada 17 Disember lalu.
Najib juga berharap pengundi di kawasan Tenang dapat memikirkan masa depan mereka dan mengambil peluang daripada pilihan raya kecil itu bagi memilih
wakil rakyat yang sesuai.
"Ini pilihan raya kecil bukan pilihan raya umum. Jadi, yang penting sekali
ialah untuk mereka memilih seorang wakil rakyat yang boleh membuat sesuatu atau
memberi kelebihan kepada mereka.
"Itu yang paling utama dalam soal pilihan raya kecil," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment