Showing posts with label Kucing. Show all posts
Showing posts with label Kucing. Show all posts

Thursday, July 9, 2009

Nilai seekor kucing3

Lewat malam tadi kira-kira jam dua belas aku pulang ke bilik sebentar. Aku terlihat sebuah kotak yang sangatku kenali. Kotak kucing. Jiranku membawanya ke sini. Aku lihat juga sepiring pinggan yang berisi susu dan sebuku roti. barangkali makanan buat si ibu. " Sudu yang guna untuk kucing tak boleh guna lagi tahu." Aku memberitahu jiranku. Dia mengiyakan. Aku memberitahu khabar sebelum ini yang memberitakan peristiwa ajaib kucing hidup semula.

Jiranku tergelak." Mana ada kucing hidup semula." Aku bercerita tentang kucing tompok coklat putih yang jatuh. Namun selepas itu ada orang melihatnya berjalan. " Memang kucing itu hidup. si Coklat yang mati." Aku sedikit tersentak. " Yang di dalam kotak ni." " Yang dalam kotak ini kucing yang kau dengar mengiau-ngiau setiap hari tu." Jadi kesemuanya empat ekor. Si Hitam kekelabuan ini yang keempat. Aku bersyukur kerana si Tompok Coklat putih masih mempunyai teman bermain.

Aku meneruskan niatku. Menonton anamorph. Kisah seram yang dikhabarkan padaku oleh seorang teman. Kematian yang sungguh berseni. Namun agak membosankan bagiku. Selepas cerita itu aku terus ke bilik seorang lagi teman menonton 'Bolt'. Kisah menarik mengenai haiwan sama seperti kucing, namun bernama anjing.

Pagi ini tiada kelas lagi.Aku menggunakan peluang untuk tidur hingga lewat pagi. Pukul 11. Jiranku bertanya kepadaku tentang kucing hitam kekelabuan di hadapan biliknya. Kotak kosong. Semua tidak tahu ke mana ibu dan anak kucing itu menghilang. Kini jam sudah menunjukkan angka 12. Khabar masih belum menemuinya.

Wednesday, July 8, 2009

Nilai seekor kucing2

Jam 11 pagi. Seeorang teman masuk ke bilik mengejutku. Subuh? Minta maaf. Tersasar. Aku terbangun pukul 9 tadi. Namun entah syaitan malaun mana yang membuaiku. Aku terlena. " Kucing lagi satu mati. " " Apa?" Aku terkejut.

Kalaulah kucing itu aku. Cuba bayangkan. Si Coklat mengejut si Tompok Putih. " Wei si penulis tu mati. Tapi belum buat subuh lagi." Mengucap panjang. Begitu perasaanku. Mendengar berita kematian walaupun seekor kucing di pagi hari tanpa subuh. Menakutkan apabila terfikirkan hari pembalasan. "Ya rabb, ampunkanku."

Wahai sahabat yang menggerakkan tubuhku di kala subuh. Aku izinkan kamu menyimbah air ke muka ini agar aku tidak terlepas peluang bersama Illahi. Sayu. Namun itulah aku ketika dalam sedar.

Tapi khabar lewat malam dari seorang teman mengatakan kucing itu masih hidup. Dia nampak kucing itu berjalan. Aku merasakan hatiku yang mati kembali hidup. Alhamdullillah ada pengajaran disebalik tiap peristiwa itu.

Tuesday, July 7, 2009

Nilai seekor kucing

Hari ini aku sedikit terkesima. Baru tadi aku menjinjing lehernya. Dia menurutiku masuk hingga ke dalam bilik seorang teman. Saat ini aku melihat seekor badan menghadapi saat kematian. Semuanya di depan mata dan terlalu pantas. Pada mulanya dia cuba bermain-main dibirai tembok aras 4, dan terjatuh. Tergelincir jatuh kebawah. Aku menyaksikannya. Percayalah aku sangat mengasihani kucing itu. Haiwan kesayangan baginda Rasullullah. Aku pantas berlari mencari teman yang begitu mengambil berat akan kucing ini. Masih segar diingatanku ketika ibu kucing yang pekak dan bisu itu melahirkan dua ekor cahaya mata comel. Ada seorang teman yang meletakkannya ke dalam kotak kasut. Namun temanku ini menyuruh mengambil kotak yang lebih besar agar ibu dan anak-anak kucing itu dapat bersama. Aku melihat sendiri kasih sayang temanku terhadap kucing- kucing itu. Semoga kucing itu mendoakannya kelak.

Aku singgah di surau blok untuk menunaikan fardu zohor. Sambil itu aku sempat melihat sedikit perkembangan anak-anak kucing itu yang terletak berhampiran surau. Tiga ekor anak kucing. Aku terkejut seketika. Memikirkan kelahiran anak ketiga kucing itu. Aku tidak dapat berfikir panjang lalu aku terus memanggil temanku yang arif tentang kucing ini. Aku lihat senyuman di wajahnya. Kegembiraan. Namun dia pun kehairanan sepertiku. Seekor bertompok hitam putih, seekor bertompok coklat putih dan yang baru wujud itu berwarna coklat muda. Aku tidak sabar melihat anak-anak kecil ini berjalan. Mesti mencuit hati.

Hari ini selasa 7 julai, aku melihat anak-anak kucing itu mula berjalan. Sememangnya comel seperti anggapanku. Teman-temanku sibuk mengejar anak-anak kucing itu dan memasukkannya ke dalam kotak. Waktu itu aku sedang sibuk menanak nasi. Si Tompok Hitam Putih asyik menurutiku. Waktu aku selesai menanak si tompok hitam putih masih di situ. Setia menungguku. Aku mengisi sedikit ruang yang ada ini melihat gelagatnya. Bermain di hadapanku berhampiran tembok dan birai itu dan...

Bagaimanakah keadaanku nanti di saat akhir nyawaku. Sedangkan kucing yang baru lahir ini tanpa dosa dan bernama binatang yang tiada akal terseksa. Aku berfikir sejenak. Temanku mulai sedih. Aku bersimpati akannya. Namun itulah takdir illahi. Barangkali ada sesuatu yang Allah ingin aku lihat. Dalam keadaanku yang serba cacat pada amal ini di saat maut itu yang sentiasa mengekoriku. Adakah masih mempamerkan senyuman. Senyuman itu tawar. Persoalannya adakah tawar itu tidak mampu ditambah madu. Aku pasti ramai yang mampu menjadi madu. Namun aku tak pasti mampukah madu itu menolongku.

Namun aku mengharapkan sitompok hitam putih itu mampu berbicara di akhirat kelak menolongku serta temanku menjawab soalan hakim besar ketika itu. " Tuhanku ampunkan dosa mereka yang menolongku." Atau jika dia sudah bertemu tuhan semoga dia berdoa " Ya tuhanku berikanlah hidayah kepada penulis itu dan temannya yang sentiasa merinduiku serta risau akanku ketika saat nyawaku ditarik." Amin...